Surah Al-Baqara
Mereka
(membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang
dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,
padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran
itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan
sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa
yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil
(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan
setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini
hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau
menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga
orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir
itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka
mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi
manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah
lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat
buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka
mengetahui. / (102) Dan
kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertakwa (nescaya mereka
akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah
lebih baik, kalau mereka mengetahui. (103) Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "Raaina", (ketika
kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah:
"Unzurna" dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati
menerimanya) dan (ingatlah bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (104) Orang-orang
kafir dari Ahli kitab dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka
kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari
Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang
amat besar. (105)
No comments:
Post a Comment