Saturday, November 26, 2016
Wednesday, November 23, 2016
Thursday, November 17, 2016
Saturday, November 12, 2016
Surah Al Baqara. Ayat 102-105.
Surah Al-Baqara
Mereka
(membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang
dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,
padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran
itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan
sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa
yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil
(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan
setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini
hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau
menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga
orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir
itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka
mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi
manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah
lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat
buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka
mengetahui. / (102) Dan
kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertakwa (nescaya mereka
akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah
lebih baik, kalau mereka mengetahui. (103) Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "Raaina", (ketika
kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah:
"Unzurna" dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati
menerimanya) dan (ingatlah bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (104) Orang-orang
kafir dari Ahli kitab dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka
kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari
Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang
amat besar. (105)
Surah Al Baqara. Ayat 94-101.
Surah Al-Baqara
Katakanlah
(wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): Kalau Syurga negeri akhirat itu
telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh
dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka
cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul
kamu orang-orang yang benar. (94) Dan
sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya,
dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dan Allah sentiasa
mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (95) Demi
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu
setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya) dan (lobanya
mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik.
Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun,
padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari
azab (yang disediakan oleh Allah) dan (ingatlah), Allah sentiasa
melihat akan apa yang mereka lakukan. (96) Katakanlah
(wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana
Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang
mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang
diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar
gembira kepada orang-orang yang beriman. (97) Sesiapa
memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan
memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat
Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana
sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir. (98) Dan
sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat
keterangan yang jelas nyata (Al-Quran) dan tidak ada yang akan
mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik. (99) Patutkah
(mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali
mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan
dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman. (100) Dan
apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi
Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian
dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah
ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
(101)
Friday, November 11, 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)